Latar Belakang


PENGENALAN


Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Fakir Miskin Baitul Mahabbah, Seremban Negeri Sembilan no pendaftaran 0117-11-NSE dan Pusat Jagaan Baitul Mahabbah (NS0042365-W) adalah sebuah pusat jagaan, pusat kebajikan dan pendidikan yang menaungi anak-anak yang terdiri daripada golongan anak yatim, fakir miskin dan asnaf zakat.

Memulakan operasinya pada Julai 2008 dengan menyewa Lot Banglo di No.9, Jalan RK 5/7, Rasah Kemayan Seremban, 70300 Negeri Sembilan Darul Khusus.



JUSTIFIKASI

Sejarah telah membuktikan bahawa di mana Rasulullah SAW sendiri dikenali sebagai anak yatim. Malahan kebanyakan orang Tuhan seperti Rasul-rasul dan Nabi-nabi sejak kecil lagi dipisahkan daripada ibu dan bapa.

Ini adalah kerana orang yang dibesarkan oleh ibu bapa selalunya bersandar semata-mata dengan ibu dan ayahnya menyebabkan dia terlupa untuk bersandar dengan Tuhan. Oleh kerana itulah maka orang Tuhan telah Tuhan pisahkan daripada ibu dan bapa supaya dia kuat bersandar dengan Tuhan.

Kalaupun ibu dan bapanya tidak mati seperti Nabi Yusuf tetapi dia tetap terpisah daripada ibu dan bapanya selama 40 tahun. Malahan para Imam, seperti Imam Syafie dan Imam Ghazali juga telah terpisah daripada ibu dan bapanya semenjak kecil lagi. Oleh itu menjadi anak yatim bukan satu penghinaan tetapi Tuhan hendak muliakan.



MATLAMAT

  • Memberi pendidikan lahiriah dan batiniah terutama pembangunan rohaniah dalam menanamkan jiwa tauhid dan pegangan yang kuat kepada ALLAH swt agar terbangunannya ROH dan JIWA yang kuat jati dirinya yang mana satu hari nanti mampu berdikari tanpa bergantung kepada manusia.
  • Membina dan melahirkan generasi yang mempunyai peribadi mulia dan berakhlak tinggi, berkasih sayang dan berupaya menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat.
  • Menyediakan segala Keperluan hidup dan pendidikan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna


KONSEP PENUBUHAN


Mengapa Baitul Mahabbah ditubuhkan ?

Belatar belakangkan menjadi anak yatim sejak berumur sembilan tahun telah mendorong hati nurani untuk menubuhkan Baitul Mahabbah dengan tujuan membela nasib golongan ini.

Memilih nama Baitul Mahabbah bermaksud Rumah Kasih Sayang dengan hasrat dapat memberi sepenuh kasih sayang dalam mendidik dan mengasuh anak-anak ini. Pengalaman menjadi anak yatim telah mengajar beliau mengenal erti berdikari dan erti sebuah kehidupan. Pengalaman inilah yang dikongsikan bersama mereka agar mereka terus menerus membaiki diri dan kehidupan seterusnya agar suatu masa nanti mereka juga dapat membela golongan yang senasib dengan mereka.